Hukum berpakaian tapi Telanjang
Mengapa masih ramai perempuan yang tidak mengambil berat persoalan aurat
dengan memakai pakaian yang merangsang syahwat lelaki. Saya rasa tidak
salah untuk mengatakan kejadian rogol dan buang bayi ini yang berlaku
adalah kesan daripada perempuan yang mendedahkan aurat sehingga
merangsang syahwat lelaki. Apa pendapat ustaz? Saya juga ingin bertanya
mengenai hukum menghias rumah dengan ukiran? Adakah Islam
mengharamkannya?
Antara sebab utama masih ramai dalam kalangan perempuan yang masih
memakai pakaian yang tidak menutup aurat atau menutup aurat tetapi tidak
sempurna adalah faktor kejahilan berkaitan persoalan agama. Mungkin ada
yang tahu hukum menutup aurat tetapi mereka ini sombong seperti yang
disebut oleh Rasulullah SAW iaitu menolak kebenaran.
Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang kelihatan bentuk tubuh
dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk antaranya ialah pakaian
yang dapat mempertajam bahagian tubuh terutama tempat yang membawa
fitnah seperti buah dada, paha dan sebagainya.
Golongan ahli neraka
Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah saya lihat
keduanya: Pertama, kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu yang
mereka buat untuk memukul orang (maksudnya pemerintah yang kejam).
Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang yang cenderung
kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan
maksiat, rambutnya sebesar bonggol (bukhtun) unta. Mereka ini tidak
boleh masuk syurga dan tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga
itu dapat terhidu sejauh perjalanan sekian dan sekian.
Mereka dikatakan berpakaian kerana memang mereka itu melilitkan pakaian
pada tubuhnya tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi
untuk menutup aurat kerana itu mereka dikatakan telanjang kerana
pakaiannya terlalu nipis sehingga memperlihatkan tubuh seperti yang
dipakai oleh sebahagian pakaian perempuan sekarang.
Bukhtun adalah salah satu jenis unta yang mempunyai bonggol besar.
Rambut orang perempuan seperti bonggol unta kerana rambutnya ditarik ke
atas. Jika diperhatikan kepada hadis itu seolah-olah Rasulullah SAW
melihat apa yang berlaku pada zaman sekarang ini iaitu ramai perempuan
cenderung untuk membuat rambut dengan pelbagai fesyen dalam salun yang
disebut sebagai salun kecantikan, manakala ramai lelaki yang bekerja di
salun kecantikan dengan upah yang sangat tinggi.
Ada juga perempuan yang berasa tidak puas dengan rambut asli kurniaan
Allah. Kerana itu mereka membeli rambut palsu yang disambung dengan
rambutnya yang asli supaya kelihatan lebih cantik sehingga ia menjadi
perempuan yang menarik dan memikat hati.
Islam tidak melarang penganutnya menghias rumah dengan karangan bunga
yang berwarna-warni dan ukiran-ukiran serta hiasan yang halal. Oleh
kerana itu Allah SWT berfirman dalam surah al-Araf ayat 32 yang
bermaksud: Siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah
Ia keluarkan untuk hamba-hamba-Nya.
Sekali lagi ingin mengatakan bahawa seorang Muslim tidak berdosa untuk
menghiasi rumahnya, pakaiannya, kasutnya dan sebagainya. Hal ini kerana
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Muslim (yang
bermaksud): Tidak akan masuk syurga orang yang di hatinya ada perasaan
sombong sekalipun sebesar zarah. Kemudian ada seorang lelaki bertanya:
Ya Rasulullah! Seseorang itu suka kalau pakaiannya baik, dan kasutnya
baik. Adakah ia termasuk kesombongan? Nabi SAW menjawab: Sesungguhnya
Allah itu baik, Ia suka kepada yang baik.
Suka keindahan
Dalam hadis riwayat Abu Daud pula menyebut (yang bermaksud): Ada seorang
lelaki yang kacak datang kepada Nabi SAW, kemudian ia bertanya: Saya
ini sangat suka kepada keindahan dan saya sendiri telah diberi keindahan
itu sebagaimana yang tuan lihat sehingga aku tidak suka kalau ada
seseorang yang mahu mengatasi aku dengan menyamakan kasutnya. Adakah ini
termasuk kesombongan wahai Rasulullah? Jawab Nabi SAW: Tidak! Sebab
yang disebut kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan menghina orang
lain.
Namun Islam tidak suka berlebih-lebihan dalam segala hal. Nabi SAW
sendiri tidak suka seorang Muslim yang rumahnya itu penuh dengan lambang
kemewahan dan kemegahan kerana berlebih-lebihan itu dicela oleh
al-Quran.
No comments:
Post a Comment